Terjun udara pada usia 62 tahun, realisasikan impian seumur hidup
 Posted on : Feb 23, 2026, 1:12AM   1 total views  Category : World
Kanika bersama seorang jurulatih terjun udara bagi merealisasikan impian yang sekian lama baru tercapai. – FB Hikers Unite

THAILAND – Pada usia 62 tahun, Kanika bergambar bersama seorang jurulatih terjun udara bagi merea-lisasikan impian lama untuk melakukan terjun udara secara tandem, sebuah pengalaman yang disifatkannya sebagai kenangan berharga yang akan sentiasa dikenang.

Apa yang tidak dapat dilakukannya pada usia 26 tahun, akhirnya berjaya dicapai pada usia 62 tahun. Terjun udara secara tandem merupakan impian sejak kecil, didorong minatnya terhadap aktiviti lasak yang mencabar rasa berani.

Namun, beliau terperangkap dalam kesibukan mengejar kehidupan stabil pada fasa awal dewasa. Ketika kecil, dia perlu membesar dan matang. Sebagai remaja dan pemuda, dia menumpukan perhatian terhadap pelajaran serta melanjutkan pengajian tinggi. Apabila berkeluarga, tanggungjawab bekerja dan menyara keluarga menjadi keutamaan. Seiring pertambahan usia, dia terus memperkukuh kemahiran kerjaya demi menyokong keluarga yang semakin membesar.

Kesibukan memenuhi tanggungjawab kehidupan menyebabkan impian zaman kanak-kanaknya terpaksa diketepikan selama bertahun-tahun.

Akhirnya, beliau menyedari usia semakin meningkat dan jika rutin harian diteruskan tanpa perubahan, impian hidup mungkin tidak sempat direalisasikan.

Dia kemudian bersara daripada profesionnya dan mula merealisasikan impian yang tertangguh, termasuk menceburi sukan lasak selagi berkesempatan.

Berhubung aktiviti terjun udara itu, hasrat berkenaan timbul beberapa tahun lalu selepas mendengar pengalaman seorang rakan senior yang baru melakukannya.

Kisah penuh keterujaan rakannya itu mendorongnya untuk mencuba sendiri.

Sejak itu, dia mengumpul keberanian untuk melakukan terjun udara yang memacu adrenalin.

Sempena ulang tahun kelahiran ke-62, dia membuat keputusan untuk merealisasikannya dengan mengatur terjun udara di Thai Sky Adventure, Pattaya, Thailand pada 10 Januari lalu. – ANN/The Star

-- Courtesy of Media Permata
 

HITS: