ISTANBUL, 25 FEB – Seorang pemain bola sepak bertindak pantas memberikan bantuan kecemasan dengan melakukan resusitasi jantung paru-paru (CPR) ke atas seekor burung camar yang terkena bola ketika perlawanan di Istanbul minggu ini, sekali gus menyelamatkan haiwan berkenaan.
Insiden itu berlaku apabila burung camar yang terbang rendah melintasi kawasan permainan sebelum terkena rembatan kencang yang dilakukan penjaga gol Istanbul Yurdum Spor dalam aksi playoff amatur menentang Mevlanakapi Guzelhisar, kata pegawai kelab kepada AFP pada Selasa.
Ketika burung itu jatuh ke tanah, Kapten Istanbul Yurdum Spor bergegas mendapatkan burung camar dan melakukan bantuan CPR asas dengan menekan bahagian dada burung tersebut, menurut rakaman yang dikongsi pengurus pasukan, Fatih Buyuk, kepada AFP.
“Saya nampak sesuatu jatuh dan sedar ia seekor burung camar. Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah menekan pada jantungnya kerana ia tidak dapat bernafas, jadi saya cuba sedaya upaya,” kata Gani Catan kepada agensi berita negara, Anadolu.
Selepas burung itu kembali bernafas, beliau mengangkatnya keluar dari padang dan menyerahkannya kepada petugas perubatan untuk tindakan lanjut.
Pengulas perlawanan, Onur Ozsoy, turut melaporkan detik berkenaan secara spontan.
“Bola Muhammet terkena burung camar itu!” katanya terkejut, merujuk kepada penjaga gol pasukan berkenaan.
“Mereka sedang melakukan tekanan dada ke atas burung camar itu sekarang. Ini detik yang jarang sekali disaksikan dalam sejarah bola sepak. Burung itu telah dibawa ke tepi padang bersama beg perubatan untuk rawatan lanjut,” kata pengulas perlawanan.
Menurut laporan, burung camar berkenaan mengalami kecederaan pada sayapnya, namun keadaan lanjutnya selepas perlawanan tidak dapat dipastikan serta-merta.
Walaupun berjaya menyelamatkan haiwan itu, pasukan Catan tewas dalam perlawanan berkenaan sekali gus tersingkir daripada saingan playoff.
Bagaimanapun, kekalahan itu tidak mematahkan semangat Catan.
“Kami terlepas kejuaraan, tetapi menyelamatkan satu nyawa adalah sesuatu yang amat bermakna. Ia lebih penting daripada kejuaraan,” katanya. – AFP
-- Courtesy of Media Permata