Amazon sahkan kerosakan pusat data di UAE
 Posted on : Mar 4, 2026, 7:36AM   3 total views  Category : World
Gambar menunjukkan logo Amazon di bangunan Amazon di Antwerp pada 30 Oktober 2025. – AFP

WASHINGTON, 3 MAC – Amazon kelmarin mengesahkan kepada RIA Novosti yang pusat datanya di Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengalami kerosakan susulan laporan serangan, yang mengakibatkan kebakaran di kemudahan itu.

“Kira-kira jam 4:30 pagi, satu daripada Zon Ketersediaan kami (mec1-az2) terjejas akibat objek yang terkena pusat data, menyebabkan percikan api dan kebakaran,” menurut kenyataan syarikat itu.

“Jabatan bomba memutuskan bekalan kuasa ke kemudahan serta generator ketikamereka berusaha memadamkan kebakaran.

“Kami masih menunggu kebenaran untuk menghidupkan semula bekalan elektrik dan sebaik sahaja dibenarkan, kami akan memastikan pemulihan kuasa dan sambungan dilakukan dengan selamat. Ia akan mengambil masa beberapa jam untuk memulihkan sambungan ke Zon Ketersediaan yang terjejas,” tambah kenyataan itu.

Menurut Amazon, zon lain di rantau itu beroperasi seperti biasa. Insiden itu tidak menjejaskan pelanggan yang menjalankan aplikasi mereka melalui pusat data lain.

Pada 1 Mac, NBC News turut melaporkan, yang memetik syarikat itu, yang satu pusat data platform awan Amazon di UAE ditutup selepas bangunan itu diserang.

Media kemudian melaporkan yang kemudahan itu rosak akibat serangan dron. – Bernama

-- Courtesy of Media Permata
 

HITS: