WASHINGTON, 9 MAC – Amerika Syarikat (AS) kelmarin mengumumkan, mereka telah mengarahkan kakitangan kedutaan meninggalkan Arab Saudi susulan serangan Iran ke atas negara itu sebagai pembalasan terhadap serangan oleh Washington dan Israel.
Jabatan Negara AS dalam satu amaran perjalanan menyatakan mereka telah ‘mengarah kakitangan kerajaan AS yang tidak terlibat dalam situasi kecemasan serta ahli keluarga mereka untuk meninggalkan Arab Saudi kerana risiko keselamatan’.
Arahan itu menunjukkan kebimbangan berterusan mengenai serangan oleh Iran, susulan Presiden Donald Trump memberi amaran beliau bersedia untuk berperang beberapa minggu lagi, sementara Tehran berkata, mereka bersedia untuk memberi tindak balas.
Sebelum ini, AS membenarkan kakitangan tidak penting meninggalkan negara itu tetapi tidak mewajibkannya.
Jabatan Negara AS menegaskan mereka akan terus menasihatkan rakyatnya untuk menilai semula perjalanan ke Arab Saudi, walaupun tidak menasihatkan semua perjalanan ke negara itu, yang giat menarik minat perniagaan dan ahli politik AS.
Manakala, beberapa dron telah menyerang kedutaan AS di Riyadh minggu lalu sehingga menyebabkan kerosakan di Kedutaan AS di Kuwait dan juga Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kelmarin, kerajaan Arab Saudi turut melaporkan dua orang terbunuh dan 12 cedera apabila satu projektil mendarat di wilayah Al Kharj.
Iran berikrar akan membalas tindakan selepas AS dan Israel melancarkan serangan besar pada 28 Februari yang mengorbankan pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Kerajaan Arab Teluk, termasuk Bahrain dan Qatar, merupakan sekutu rapat AS dan menyediakan pangkalan penting bagi pasukan AS. – AFP
-- Courtesy of Media Permata