Qiyam 10 malam terakhir Ramadan serikan Masjid Nabawi
 Posted on : Mar 11, 2026, 3:23PM   3 total views  Category : World
Gambar Envato

MADINAH, 10 MAC – Umat Islam membanjiri Masjid Nabawi, kelmarin untuk menunaikan ibadah Qiyam pada malam pertama 10 hari terakhir bulan suci Ramadan, lapor agensi akhbar Saudi, SPA.

Suasana di masjid itu dipenuhi semangat kerohanian, ketenangan dan keamanan ketika ribuan jemaah berkumpul di koridor, pekarangan dan jalan menuju ke masjid untuk mendirikan solat tarawih dan tahajud.

Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mempersiapkan semua kawasan dan kemudahan Masjid Nabawi dengan penyelarasan bersama jabatan dan pihak berkuasa berkaitan bagi menyediakan satu sistem perkhidmatan bersepadu untuk jemaah dan pelawat sekali gus membolehkan mereka melaksanakan ibadah dengan lancar dan selesa. 

Persiapan termasuk membuka pintu pagar dan menyiapkan bahagian dalam, bumbung dan halaman masjid untuk menerima jemaah, selain penyelenggaraan, pembersihan, perkhidmatan operasi serta pengagihan air.

Pihak berkuasa turut menambah tenaga kerja dan peralatan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan pelbagai tugas sambil mengerahkan kakitangan untuk mengatur orang ramai, membuka laluan serta memudahkan pergerakan jemaah di dalam Masjid Nabawi dan pekarangannya.  – Bernama

-- Courtesy of Media Permata

HITS: