BRASILIA, 18 MAC – Brazil mula melaksanakan satu langkah baharu kelmarin iaitu bagi mengehadkan akses kepada media sosial bagi golongan remaja bawah umur, sekali gus menghalang mereka daripada melihat kandungan yang mempunyai unsur-unsur keganasan atau menyalahi undang-undang.
Undang-undang yang mengawal penggunaan media sosial untuk kanak-kanak telah diluluskan tahun lalu susulan isu yang melibatkan dakwaan eksploitasi seksual terhadap bawah umur di platform Instagram dan kini mula berkuat kuasa pada minggu ini.
Negara dengan populasi sekitar 212 juta itu turut menyertai beberapa negara lain dalam usaha melindungi kanak-kanak daripada algoritma media sosial yang boleh menyebabkan ketagihan.
Sesetengah negara, seperti Australia telah melaksanakan larangan terus, manakala yang lain memperkenalkan pengesahan umur lebih ketat atau memerlukan kebenaran ibu bapa.
Di Brazil, remaja berusia sehingga 16 tahun kini diwajibkan menyambung akaun mereka kepada akaun penjaga sah. Platform digital pula dikehendaki melaksanakan pengesahan umur yang ‘boleh dipercayai’ bagi menghalang individu bawah 18 tahun daripada mengakses kandungan terlarang atau tidak sesuai seperti bahan lucah dan keganasan.
“Apa yang dilakukan undang-undang kami ialah melarang pengisytiharan sendiri sebagai kaedah pengesahan umur kerana kaedah itu tidak berkesan,” kata Pengarah Pihak Berkuasa Perlindungan Data Nasional (ANPD), Iage Miola, iaitu agensi kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan undang-undang tersebut.
Namun, butiran lanjut mengenai mekanisme pelaksanaan masih belum diumumkan.
Menurut Miola, kaedah pengesahan yang digemari buat masa ini ialah pengguna memuat naik dokumen pengenalan diri serta menyediakan pengesahan foto biometrik.
Undang-undang itu juga mewajibkan kesemua platform digital untuk memadam kandungan yang menunjukkan unsur-unsur eksploitasi atau penderaan seksual serta memaklumkan pihak berkuasa Brazil. – AFP
-- Courtesy of Media Permata